BANGI, 4 Nov - “Kita mesti memahami makna bacaan apa yang dibaca untuk meningkatkan khusyuk dalam solat”, kata Ustaz Dr Noor Azizi Ismail dalam Usrah Umum yang bertajuk “Panduan Yang Khusyuk dan diterima Allah” pada 30 Oktober yang lalu. Oleh itu “bahasa Arab seolah-olah wajib dipelajari bagi membolehkan kita memahami kalimah yang dibaca dalam solat” tegasnya. Paling kurangpun, kita mesti menghafal makna bacaan dalam solat seperti surah al-Fatihah, rukuk, sujud dan tahiyat.
Solat yang khusyuk ialah mereka yang sentiasa sedar dan mengikuti segala pengertian dari setiap kalimah yang di ucapkan di dalam solatnya. Justeru itu apabila seseorang membaca Fatihah, hatinya akan mengikuti dan memahami makna setiap kalimah yang dibaca.
Turut ditekankan oleh beliau dalam Usrah Umum yang diadakan di Darul Insyirah, Yayasan Ikhlas, Seksyen 3 Bandar Baru Bangi ialah kepentingan khusyuk yang menjadi syarat sama ada solat seseorang itu akan diterima oleh Allah SWT. Jika khusyuk tidak wujud dalam diri orang yang menunaikan solat, maka ruang kosong itu pasti terisi dengan sifat lalai. Orang yang lalai tidak akan merasai keagungan Allah SWT, sekalipun lidahnya mengucapkan kalimah-kalimah yang mengandungi segala puji-pujian terhadap Allah.
Ustaz Dr Noor Azizi telah memberikan beberapa panduan solat yang khusyuk yang dibahagikan kepada sebelum dan semasa mengerjakan solat. Sebelum solat kita perlu membuat persediaan awal dari aspek fizikal dan rohani. Hati perlu dipelihara kesuciannya dengan menjauhkannya daripada benda-benda yang haram atau tidak halal. Oleh itu, “pastikan apa yang kita makan, minum, pakai, tempat tinggal dan lain-lain hendaklah datang dari punca dan sumber yang halal tanpa syubhah”, tegasnya lagi.
Semasa solat pula kita perlu menghadirkan hati kepada Allah SWT iaitu mengosongkan hati daripada segala urusan lain yang menggangu dari memberikan tumpuan sepenuhnya kepada Allah SWT. Selain itu kita perlu berusaha melawan ganguan syaitan yang cuba memesongkan perhatian semasa solat. Gangguan syaitan ini menyebabkan kita menjadi ragu dan was-was tentang bilangan rakaat yang telah ditunaikan.
Ustaz Dr Azizi berpesan supaya sentiasa melihat tempat sujud. Beliau juga menjelaskan jika memejamkan mata boleh mendatangkan khusyuk dalam solat seseorang itu, maka dibolehkan dia berbuat begitu.
Usrah Umum ini diakhiri dengan sesi jamuan bersama dengan peserta yang hadir. Di kesempatan ini peserta telah berkenalan dengan lebih mesra dan dapat membincangkan isu semasa yang melanda umat Islam masa kini. ISMA komited untuk mendidik masyarakat untuk menghayati kehidupan Islam yang sebenar melalui pelbagai program termasuk Usrah Umum ini.
Saturday, 9 November 2013
FAHAMI MAKNA BACAAN TINGKATKAN KHUSYUK DALAM SOLAT
Labels:
ibadat,
usrah umum
No comments:
Post a Comment