Friday, 29 November 2013

Dakwah Islamiyyah dalam membendung serangan Pasca-Modenisme

Tulisan di bawah merupakan kertas kerja Dr Amran Muhammad di Seminar Dakwah Nasional anjuran MUAFAKAT pada 8-9 Oktober 2012.

Penulisan beliau ini amat bermanfaat untuk mengetahui senario serangan pasca-modenisme dan gerakan liberal. Beliau amat menekankan tentang aspek intelektual-epistemologikal bagi menghadapi golongan liberal ini. Namun begitu, ada beberapa isi yang telah disunting bagi meringkaskan pembacaan.






1.       Senario serangan Pasca-Modenisme
Serangan pemikiran Pasca-Modenisme terhadap kefahaman dan penghayatan Islam datangnya dari tiga penjuru. Pertama, serangan yang datang dari musuh-musuh Islam itu sendiri terutamanya di kalangan Kristian dan Yahudi melalui pemikiran dan peradaban Barat yang sentiasa mencari peluang merosak dan memusnahkan kefahaman dan penghayatan Islam Ahlusunnah wal Jama’ah sejak dari dahulu kala lagi. 

Kedua, serangan yang datang melalui golongan sedia ada sekular-liberal di kalangan umat Islam yang telah menukar corak serangan mereka dari pemikiran Modenisme dahulunya kepada pemikiran Pasca-Modenisme hari ini yang mereka anggap lebih sesuai dan berkesan untuk menukar pegangan umat Islam ketika ini. 

Dan ketiga, yang agak malang, serangan yang datang melalui batang-tubuh umat Islam yang terdiri dari kelompok-kelompok aktivis dan gerakan (harakah) dakwah Islamiyyah yang telah terpesona dan terpedaya dengan hujah-hujah Pasca-Modenisme secara sedar mahu pun tidak sedar akibat dari kecetekan dan kekeliruan kefahaman mereka terhadap Islam itu sendiri ataupun disebabkan kepentingan-kepentingan politik semasa dalam kemelut mencari pengaruh dan kuasa demi survival politik mereka.

Serangan tiga penjuru pemikiran Pasca-Modenisme terhadap kefahaman dan penghayatan Islam dihadapi pula oleh golongan Ahlusunnah wal Jama’ah dalam dua bentuk. Bentuk pertama, serangan pemikiran Pasca-Modenisme dari dimensi intelektual-epistemologikal menggunakan senjata relativisme/kenisbian ilmu dan kebenaran, meliputi usaha-usaha menghilangkan keyakinan umat Islam terhadap sifat thubut/tetap/berkekalan ajaran-ajaran Islam. Malah mereka mempertikaikan keupayaan ajaran-ajaran aqidah, shari’ah dan akhlak Islam untuk terus benar melangkaui zaman dan lingkungan.

Bentuk kedua, serangan Pasca-Modenisme dari dimensi praktikal-sosiologikal menggunakan senjata pluralisme/kesamarataan cara-hidup dan amalan-budaya, meliputi pelbagai gerakan sosial yang mengangkat tinggi fenomena-fenomena trans/lintas-aktiviti seperti faham agama transcendental, aktiviti transgender dan transexual dan seumpamanya. Mereka seolah-olah mengalami pencerahan baru dalam pelbagai aktiviti kehidupan dari pegangan akidah sehinggalah ke amalan seksual.

Lihat sahajalah mutakhir ini bagaimana sebahagian dari kelompok-kelompok aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah yang begitu mesra bersahabat dan saling lengkap-melengkapi dengan kelompok-kelompok aktivis dan gerakan sekular-liberal malah juga dengan golongan yang sedia dikenali anti-Islam bukan sahaja dari sudut pemikiran malah juga tindak-tanduk yang tidak mungkin dibayangkan 30 tahun yang lalu ketika gerakan dakwah Islamiyyah berada dikemuncak keyakinan dan ketegasan mereka di Tanahair.

Serangan pemikiran Pasca-Modenisme jelas sekali telah berjaya merungkaikan pegangan epistemologi wujudnya ilmu yang kekal benar dan juga kebenaran yang hakiki bagi kelompok-kelompok aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah ini kepada kebenaran ilmu berubah-ubah itu bergantung kepada keadaan dan konteks semasa. Disamping itu serangan pemikiran Pasca-Modenisme juga berhasil menggalakkan sikap ”merestui” atau ”meredhai” amalan-amalan baru yang melampaui dari amalan-amalan tradisi kehidupan manusia beragama di kalangan para aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah itu sendiri.

Melihat kepada cara-berfikir “baru” dan tindak-tanduk “aneh” aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah yang telah sekian lama berkecimpung dalam harakah dan jamaah Islam di Tanahair,  mungkin tidak keterlaluan untuk disebut bahawa aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah yang suatu ketika dahulu pernah diangkat sebagai jurubicara umat atau elemen sedar dalam batang tubuh umat, tegas dan tuntas mempertahankan akidah Islam, tidak sekali-kali berkompromi dalam hal-hal pokok agama Islam, sangat peka dan sensitif terhadap sebarang perkara-perkara yang menganggu-gugat martabat dan maruah Islam, kini menjadi begitu apologetik, pembekal justifikasi malah menjadi “pak turut,” bahkan mempertahankan secara terbuka idea-idea songsang mengenai Islam yang digembar-gemburkan oleh pelopor-pelopor Pasca-Modenisme beragama di Malaysia.

Akibatnya aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah menjadi merudum integriti dan kredibilitinya dikalangan umat Islam di Tanahair. Malah menjadi lebih parah bila aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah menjadi agen dan katalis mengelirukan kefahaman dan pegangan umat Islam terhadap sifat asasiah dari ajaran-ajaran agama Islam. Ternyata serangan pemikiran Pasca-Modenisme dari dimensi intelektual-epistemologikal telah membankrupkan daya-fikir kritis dan kritikal sebahagian dari para aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah manakala serangan pemikiran Pasca-Modenisme dari dimensi praktikal-sosiologikal telah memusnahkan tata-cara kehidupan mulia yang berasaskan tradisi beragama sejak turun-temurun.

2. Menghadapi Pasca-Modenisme
Oleh kerana asas-asas serangan Modenisme telah menyerap masuk ke dalam pemikiran aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah, maka kedatangan serangan Pasca-Modenisme dengan mudah akan menghinggapi para aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah kerana Pasca-Modenisme dalam beberapa keadaan memiliki ciri-ciri yang serupa dengan Modenisme iaitu penolakkan terhadap autoriti dan tradisi dalam beragama.

Yang membezakan antara Modenisme dan Pasca-Modenisme ialah Modenisme hanya beranggapan pemikiran rasional Barat sebagai yang benar lagi mutlak sedangkan bagi Pasca-Modenisme tiada satupun kebenaran yang benar dan mutlak kerana mereka berpegang kepada pluralisme/ kesamarataan iaitu semuanya boleh menjadi benar. Sekali lagi atas ternafinya peluang bagi mereka untuk berdampingan dengan khazanah tradisi Ahlusunnah wal Jama’ah, aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah gagal untuk menghadapi cabaran dan serangan kenisbian/relativisme serta kesamarataan/pluralisme tajaan Pasca-Modenisme seperti yang sedang dihadapi oleh umat ketika ini.

Dalam memposisikan semula peranan Ahlusunnah wal Jama’ah dalam mendepani serangan Modenisme dan Pasca-Modenisme, sikap dan apresiasi yang betul mestilah dimulakan di kalangan aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah. Keinginan untuk menggali khazanah dan kekayaan tradisi intelektual-epistemologikal Ahlusunnah wal Jama’ah akan memberi nilai tambah dan kekuatan baru umat dalam berhadapan dengan cabaran serangan Modenisme dan Pasca-Modenisme.

3. Strategi aktivis dan gerakan dakwah
Keyakinan yang tidak berbelah-bahagi terhadap keupayaan sumber-sumber intelektual-epistemologikal Ahlusunnah wal Jama’ah untuk merungkaikan kekeliruan dan kekalutan yang dikemukakan oleh pemikiran Pasca-Modenism/Modenisme merupakan pra-syarat awal yang perlu ditanam dalam jiwa setiap di aktivis dan harakah dakwah Islamiyyah sebelum langkah seterusnya dilakukan. Perasaan kesangsian, memperlekehkan, rendah diri, berjiwa kecil terhadap kemampuan sumber-sumber intelektual-epistemologikal Ahlusunnah wal Jama’ah untuk menyerang-balas sekaligus menumpaskan pemikiran Pasca-Modenisme/Modenisme sekiranya ada tidak akan membantu umat menghadapi penjajahan pemikiran – ghazwatul fikriy yang sedang memusnahkan kehidupan beragama umat Islam di seluruh dunia.

Justeru inisiatif-inisiatif seperti penterjemahan kitab-kitab muktabar Ahlusunnah wal Jama’ah, program-program penghuraian dan pentafsirannya untuk pelbagai lapisan umat, penerbitan bahan-bahan bacaan yang bersesuaian dan seumpamanya berkehendakkan para aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah yang mengerahkan bahagian tertentu dalam sistem dan organisasi mereka untuk menumpukan sepenuh masa ke arah perlaksanaan inisiatif-inisiatif tersebut. Hanya dengan cara begini dari segi jangkapanjangnya nanti terbinalah kekuatan pertahanan intelektual-epistemologikal umat berasaskan kepada khazanah dan tradisi Ahlusunnah wal Jama’ah yang berkeupayaan menghadapi apa bentuk pun serangan pemikiran-pemikiran baru yang bakal muncul selepas Pasca-Modenisme/Modenisme ini.
Golongan liberal dan secular ini memperdayakan umat dengan cara halus dan mereka sentiasanya bimbang akan penolakkan umat terhadap faham-faham asing ini lalu mereka menuduh umat sebagai jumud, ketinggalan dan seumpamanya. Umat Islam sekular dan liberal ini tidak akan mampu menyebarkan kekeliruan dan penyelewengan mereka sekirannya para aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah bekerja-keras menerangkan kepada umat bahaya dan bencana yang bakal menimpa akibat dari menerima faham Pasca-Modenisme dan Modenisme.

Kedudukan Islam sebagai Agama Negara yang sah dengan segala peruntukan dan keistimewaan yang disepakati bersama sewaktu pembentukan sebuah negara di zaman moden seperti Malaysia mestilah dipertahankan dan tidak boleh sama sekali diganggu-gugat.

No comments:

Post a Comment