27.11.2013, Bandar Baru Bangi- Kita perlu mengkritik segala teori dan
ideologi yang bersalahan dengan kebenaran seperti liberalisme, pluralisme dan
LGBT selain dari menjelaskan kebenaran yang telah disampaikan oleh nabi dan
rasul, tegas Ustaz Dr Mohd Azizi. Pendekatan untuk menghadapi golongan ini
perlulah berhikmah dan tegas. Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk
mengkritik dengan jujur berlandaskan ilmu dan kajian agar tidak lagi timbul
keraguan.
Syahadatul Haq merupakan ucapan Syeikh Abul Al-A’la al-Maududiyy untuk
menjelaskan erti dakwah Islam. Dalam ucapannya, al-Maududi menyatakan dakwah
yang ditujukan kepada umat Islam ialah mengajak mereka merasai tanggungjawab
besar yang diletakkan di bahu mereka. Sepatutnya seseorang itu merasai tanggungjawab
yang perlu dilaksanakan sebaik sahaja
melafazkan syahadah ini.
Dalam Usrah Umum kali ini, Ustaz Dr Azizi menjelaskan tentang Syahadatul-Haq bukan sekadar mengimani
kewujudan Allah, malaikatNya, kitabNya, rasulNya dan hari akhirat. Malah
tanggungjawab syahadah ini juga tidak cukup setakat mendirikan sembahyang,
puasa, zakat dan haji. Ia juga tidak cukup
sekadar anda melaksanakan undang-undang syarak dalam urusan peribadi.
Tanggungjawab
syahadah ini ialah kita semua melaksanakan di hadapan seluruh alam segala hak
Syahadah Al-Haq. Hakikatnya, syahadah ini hanya terlaksana apabila orang-orang
yang beriman menyampaikan kalimah hak ke seluruh bangsa manusia dalam bentuk
amal soleh, akhlak yang terpuji dan pemerintahan yang adil.
Syahadatul haq adalah persaksian terhadap kebenaran di dalam hati dan
melaksanakan tuntutannya. Maksudnya
ialah seseorang itu masih tidak membuat penyaksian terhadap kebenaran syahadah
sehingga menyampaikan dakwah kepada orang lain atau menjadi seorang dai’e.
Tanggungjawab
syahadah dan menyampaikan dakwah ini perlu dipikul oleh seluruh umat Islam
setelah ketiadaan nabi dan rasul. Allah telah
berfirman tentang kewajipan melaksanakan Syahadah Al-Haq :
Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin
kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikankamu (wahai umat Muhammad) satu umat
pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orangyang memberi keterangan
kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) danRasulullah
(Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran
perbuatankamu. (Al-Baqarah: 143)
Namun begitu, berapa ramaikah orang yang mengucap dua kalimah syahadah tetapi tidak mengetahui persaksian yang benar dan tanggungjawab mereka sebagai seorang Muslim. Tanggungjawab syahadah ini boleh dibahagikan kepada syahadah perkataan dan syahadah perbuatan. Syahadah dalam bentuk perkataan ialah kita menjelaskan kepada seluruh manusia tentang kebenaran yang telah disampaikan kepada kita melalui perantaraan para nabi manakala syahadah dalam bentuk perbuatan apabila orang lain melihat dengan mata mereka sendiri kebaikan ajaran agama ini yang sering kita perkatakan dan kita tonjolkan melalui perbuatan kita sepanjang hidup kita.
Syahadah dalam bentuk perkataan dan perbuatan belum cukup untuk menandakan kita telah melaksanakan segala tanggungjawab kita dan kita mampu berhadapan dengan Allah di akhirat kelak. Syahadatul- Haq tidak sampai ke kemuncaknya selagi mana tidak tertegaknya hakimiah Allah di seluruh muka bumi ini.
No comments:
Post a Comment