Saturday, 23 November 2013

Liberalisme berselindung di sebalik hujah Al-Quran dan hadis




hjhazizi 


SHAH ALAM, 7 Nov – Golongan liberalisme menggunakan taktik berselindung di sebalik hujah Al-Quran dan hadis untuk mengelirukan umat Islam.

Golongan ini cuba mengkritik Al-Quran. Bagi mereka Al-Quran bukan lagi wahyu yang perlu diterima sebaliknya menjadikan Al-Quran suatu perkara yang boleh dipersoalkan.

Demikian ujar Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman. Ujarnya lebih lanjut, puak liberalis cuba menggambarkan bahawa Al-Quran mesti diolah semula. “Mereka mempertikai hukum faraid, bagi mereka ianya perlukan penafsiran baru kerana hukum itu lebih memihak kepada kepentingan lelaki.

“Poligami juga tidak lagi relevan bagi mereka, lelaki “superior” dalam keluarga juga sudah tidak boleh diterima. Sebenarnya banyak lagi yang dipertikai oleh mereka,” ujar Ustaz Hazizi.

Sementara itu dalam pembentangannya mengenai ‘Muslim liberal, Satu Ancaman’ dalam kempen Selamatkan Ummah Mendepani Liberalisme: Satu Hijrah Ummah  beliau menjelaskan bahawa sejak kebelakangan ini puak liberalis giat mengadakan wacana perbincangan bagi membolehkan sesiapa sahaja berhak memberikan pandangan mengikut akal masing-masing.

“Mereka membawa Islam liberal ini dengan menampilkan tokoh-tokoh liberalis bagi mengenengahkan agenda dan perjuangan mereka.

“Mereka berpendapat syariat Islam banyak bertentangan dengan piagam Hak Asasi Manusia dan tuntutan zaman moden.

“Walhal hakikatnya, aliran pemikiran Islam liberal inilah yang bertentangan dengan prinsip aqidah Islam sehingga menjadikan seorang Muslim menjadi murtad, kufur, syirik dan fasiq,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut tambah Ustaz Hazizi, ancaman liberalisme ini bukan sahaja kepada individu tetapi juga kepada negara.

Konsep kenegaraan yang dilaksanakan dalam Malaysia amat bertentangan dengan prinsip liberalisme lebih-lebih lagi apabila Malaysia meletakkan Islam dan Melayu pada kedudukan yang istimewa.
Sehubungan itu katanya, adalah jelas bahawa gerakan pemikiran Islam liberal telah mulai berhasil menimbulkan keraguan akidah dan seterusnya memecah-belahkan umat Islam seperti yang sedang berlaku di Indonesia.

Program Kempen Selamatkan Ummah ini adalah anjuran Biro Wanita dan Keluarga ISMA Shah Alam dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor dan Lembaga Penduduk & Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). 


No comments:

Post a Comment