Friday, 29 November 2013

Agenda Liberal Mempertikai Penafsiran al-Quran dan Perlembagaan



 
Bandar Baru Bangi, 24 November 2013 - Golongan liberal di tanahair kini sudah dalam fasa pasca-modernisme yang bertindak membuat pertikaian terhadap penafsiran Al-Quran dan Hadith, dan juga pertikaian terhadap Perlembagaan. Begitulah pendedahan dilakukan oleh Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni dalam Ceramah Perdana bertajuk "Ancaman Serangan Akidah- Bahaya Virus Liberalisme" di Surau Bangi Perdana pada malam tadi.

Dalam perbincangan mengenai ancaman liberalisme, masyarakat perlu melihat dalam konteks sejarah Barat. Pada fasa modernisme, rujukan utama atau pegangan golongan liberal adalah kepada akal. Masyarakat umum telah melawan kejumudan zaman gelap semasa pemerintahan feudal istana dan kemudiannya pemerintahan gereja dengan pertikaian berasaskan rasional akal. 

Dalam konteks tanahair,  fasa modernisme juga dilalui tidak lama dahulu dengan terdapatnya pertikaian -pertikaian tertentu yang dilakukan oleh golongan liberal berdasarkan akal semata-mata. Namun, pertikaian tersebut tidak mendapat tempat dalam masyarakat apabila masyarakat Islam terutamanya Melayu menolak pertikaian-pertikaian tersebut. "Sisters In Islam (SIS) yang sudah lama ditubuh, tidak ada tempat dalam masyarakat kita kerana secara umum masyarakat Melayu tak boleh terima penentangan secara berhadapan terus dengan nas-nas Al-Quran dan Sunni”, ujar Ustaz Fauzi. Dahulunya SIS pernah membuat pertikaian terhadap aurat dan juga poligami. 

Ustaz Fauzi turut mendedahkan dalam ceramah yang dianjurkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Hulu Langat (ISMA DHL) dengan kerjasama  Surau Bangi Perdana, antara faktor yang menyebabkan masyarakat Islam Melayu menolak pertikaian-pertikaian yang dilakukan oleh golongan liberal ini adalah kerana pegangan kuat umat Islam terhadap Al Quran dan Sunnah dan juga rujukan umat Islam kepada golongan ulama'. 

Namun begitu, kini golongan liberal di Malaysia sudah beralih kepada fasa pasca-modernisme, akal rasional bukan lagi menjadi rujukan. Dalam Ceramah Perdana tersebut yang telah dihadiri lebih 200 orang, Ustaz Fauzi berkata golongan liberal "tidak menggunakan akal untuk memutuskan apa-apa." Golongan liberal ini tidak meletakkan akal sebagai rujukan utama lalu beranggapan kebenaran itu bersifat abstrak dan relatif. Beliau turut berkata untuk kumpulan ini "rujukan mereka tidak lagi merujuk kepada akal tetapi hanyalah kepada apa yang mereka kehendaki." 


Secara umumnya, Ustaz Fauzi membongkarkan kaedah golongan liberal masakini tidak lagi mempertikaikan secara berdepan nas-nas Al-Quran dan Hadith, tetapi mereka licik memutar-belit nas-nas tersebut untuk menjustifikasikan kehendak mereka secara halus sehingga menyebabkan orang awam terkeliru dengan ajaran Islam yang sebenar. Mereka menuntut hukum-hukum Islam ditafsirkan semula berdasarkan penafsiran yang bukan ilmiah dan simplistik.  

Walapun keadaan ini tidak begitu mengancam umat Islam yang mendapat didikan agama yang mendalam, keadaannya lebih genting kepada generasi penerus yang mungkin terpengaruh dengan dakyah golongan liberal di mana ajaran agama Islam perlu dinilai semula secara kritis dan tidak taqlid sehinggakan boleh dilakukan oleh sesiapapun tanpa mendalami ilmu agama. Golongan-golongan ulama dan cendiakawan Islam dipertikaikan sehinggakan kesannya umat Islam tidak lagi mempercayai mereka.

Satu lagi faktor yang menyebabkan agenda liberal tidak dapat dilaksanakan di Malaysia ialah sekatan perlembagaan yang menetapkan Islam sebagai agama negara. Unsur Islam dalam perlembagaan ini sedikit sebanyak dapat menghalang tuntutan liar agenda liberal ini. Oleh itu mereka telah membentuk COMANGO bagi menuntut Malaysia melaksanakan tuntutan mereka pada sesi UPR, PBB. Antara tuntutan jahat mereka ialah untuk membenarkan murtad dan  penyebaran agama lain termasuk Kristian dan Syiah. Selain itu, mereka turut menuntut agar LGBT dapat diamalkan dengan bebas tanpa dikenakan tindakan undang-undang.

Gerakan liberal yang mendapat sokongan dan dana dari barat ini perlu ditentang dengan hujah yang ilmiah dan dengan kuasa yang ada pada kerajaan bagi mengelakkan masyarakat menjadi keliru dan menyeleweng . Umat Islam sekular dan liberal ini tidak akan mampu menyebarkan kekeliruan dan penyelewengan mereka sekirannya para aktivis dan gerakan dakwah Islamiyyah bekerja-keras menerangkan kepada umat bahaya dan bencana yang bakal menimpa akibat dari menerima faham Pasca-Modenisme dan Modenisme. ISMA komited untuk menerangkan bahaya agenda liberal ini melalui pelbagai program dalam Kempen Selamatkan Ummah yang dijalankan di seluruh tanah air.



No comments:

Post a Comment