Malaysia semakin menghampiri sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) pada 24 Oktober 2013 di Majlis Hak Asasi Manusia, Geneva, Switzerland. Terdapat beberapa laporan yang dihantar secara berasingan kepada Majlis tersebut oleh badan-badan seperti Becket Fund for Religious Liberty, Human Rights Watch, Amnesty International, Majlis Peguam,International Commission of Jurists dan lain-lain NGO Hak Asasi Manusia, tetapi isi kandungan laporan COMANGO (iaitu
gabungan NGO-NGO Malaysia di dalam proses UPR) membentuk sebahagian
besar tuntutan yang terkandung di dalam dokumen-dokumen yang menjadi
asas rujukan rekod hak asasi Malaysia pada pusingan kali ini. Di antara
tuntutan-tuntutan berbahaya di dalam laporan tersebut ialah:
i. Perenggan 1: Malaysia dituntut untuk menandatangani dan memeterai International Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR).
Contoh unsur berbahaya yang terkandung di dalam ICCPR terdapat pada
Perkara 18 iaitu berhubung hak kebebasan beragama. Lihat komentar
berikut: “The Committee observes that the freedom to “have or to adopt” areligion or belief necessarily entails the freedom to choose a religion or belief, including the right to replace one’s current religion or belief with another or to adopt atheistic views, as well as the right to retain one’s religion or belief…” – Rujuk komentar penuh di sini. Implikasi penerimaan ICCPR ini bakal mengizinkan pemurtadan berlaku secara berleluasa.
ii. Perenggan 6.8 berkenaan tuntutan untuk Malaysia menandatangani dan memeterai International Covenant on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD)
yang didakwa “menyediakan rangka kerja undang-undang untuk mengadaptasi
obligasi antarabangsa ke dalam undang-undang domestik”. Pematuhan
terhadap ICERD ini hanya akan menyebabkan Malaysia mengikut telunjuk dan
acuan sekular Barat yang memaksakan penafsiran istilah “racism” atau
perkauman ke atas sesuatu negara berdaulat. Hal ini mengenepikan
tindakan-tindakan domestik yang pada hakikatnya mengambilkira realiti
dan sejarah serta aspek keagamaan dan sosio-budaya tempatan. Justeru
tidak sepatutnya diberikan label negatif dan bersifat steoreotaip
khususnya oleh media yang berniat jahat terhadap sesebuah negara.
iii. Malaysia ditekan untuk mengiktiraf hak-hak berlandaskan SOGI – Sexual Orientation & Gender Identity iaitu hak-hak LGBTIQ (Lesbian,
Bisexual, Gays, Transgender, inter-sexed & queer-persons).
Dakwaan-dakwaan kononnya golongan ini dinafikan hak-hak mereka
ditimbulkan pada perenggan 6.1.1 dan 6.1.2 laporan tersebut. Terdapat
juga tekanan-tekanan untuk menghapuskan seksyen 377A Kanun Kesiksaan
berhubung jenayah liwat.
iv. Malaysia juga dipaksa tunduk pada kandungan di dalam Prinsip-prinsip Yogjakarta 2006 yang
memberikan kebebasan mutlak kepada mereka yang mempraktikkan amalan
seks songsang. Berkenaan hak-hak LGBTIQ ini, sila rujuk penulisan awal di sini dan di sini.
Sekiranya hak-hak LGBT ini diizinkan, maka langkah pertama yang mesti
dilakukan Kerajaan Malaysia ialah menghapuskan undang-undang berhubung
kesalahan jenayah liwat. Ini adalah langkah yang membuka ruang untuk
pengenalan undang-undang perkahwinan sesama jenis yang setakat ini telah
dibenarkan di 14 buah negara seluruh dunia, dan negara jiran Thailand sedang menimbangkan untuk memperkenalkan undang-undang yang sama.
v. Perenggan 6.2 mendakwa
bahawa Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berkenaan hak-hak istimewa
kaum Melayu adalah bersifat perkauman dan diistilahkan sebagai ‘alat
politik’. Ini bersalahan dengan kontrak sosial dan juga ciri-ciri utama
yang membentuk Perlembagaan Persekutuan.
vi. Perenggan 9 mempersoalkan
Enakmen-enakmen Kesalahan Jenayah Syariah, dan khususnya perenggan 9.5
mendesak pemansuhan atau pindaan terhadap kesalahan-kesalahan jenayah
Syariah dan enakmen-enakmen yang didakwa sebagai “mengganggu hak
peribadi”.
vii. Perenggan 10 mewujudkan
kekeliruan-kekeliruan terhadap isu kebebasan beragama di Malaysia. Di
antaranya termasuk kes tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh penganut
Kristian yang masih belum diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah
tertinggi di Malaysia. Laporan tersebut juga mempersoalkan larangan
terhadap penganut ajaran Syiah menyebarkan fahaman mereka di kalangan
orang-orang Islam. Selain itu, hak seorang bapa beragama Islam untuk
mengislamkan anak-anak di bawah umur juga dijadikan isu hak asasi
manusia.
Memandangkan
proses UPR ini berlangsung setiap empat tahun sekali (kali pertama
semenjak 2009), maka adalah wajar sekiranya pihak Kerajaan Pusat, serta
pertubuhan-pertubuhan Islam (NGI) sentiasa meneliti tuntutan-tuntutan
yang dikemukakan demi memastikan tidak berlaku sebarang kekeliruan
berterusan serta dakwaan bertentangan terhadap kedudukan Islam dan
realiti sejarah dan budaya masyarakat Malaysia.
Tuntutan-tuntutan
sebegini bukan sahaja berlawanan dengan kedudukan Islam sebagai agama
persekutuan dan kedaulatan negara, tetapi juga dibuat melalui platform
yang tidak sah seperti COMANGO. Malah, ‘pertubuhan-pertubuhan’ yang
mengganggotainya juga perlu disiasat secara mendalam oleh kerana melalui
sumber yang boleh dipercayai, hanya 12 dari 54 keanggotaannya berdaftar
dengan Pendaftar Pertubuhan, Malaysia. ‘Pertubuhan-pertubuhan’ ini
tidak mewakili suara majoriti masyarakat Malaysia, namun begitu
menampakkan gagasan mereka seolah-olah besar dan berpengaruh. Kewujudan
entiti-entiti ini juga menyalahi undang-undang pertubuhan kerana tidak
didaftarkan secara sah.
Azril Mohd Amin ialah naib presiden, Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia.
http://hazwanmohamad.blogspot.com/2013/11/tuntutan-comango-1.html
No comments:
Post a Comment