Bandar Baru Bangi, 25 September
2013 – Ancaman liberalisme di Malaysia tidak boleh dipandang rendah
malah perlu ditangani dengan betul. Ahli sekretariat Majlis Ulama ISMA,
Ustaz Dr Isa Hamzah, berkata salah satu faktor kejatuhan Presiden Dr
Morsi di Mesir ialah kerana memandang rendah akan kekuatan golongan
liberal yang bertopengkan pejuang hak asasi manusia. Golongan liberal
ini menerima dana besar dari Barat sehingga dapat menguasai media yang
sering memburuk-burukkan dan merendah-rendahkan keupayaan Dr Morsi.
“Liberalisme adalah salah satu
isu ‘multiculturalisme’ yang menjadi ancaman umat islam di Malaysia,”
katanya ketika menyampaikan pengisian Usrah Umum anjuran ISMA cawangan
Daerah Hulu Langat bertajuk “Isu-isu Perpaduan dan ‘Multiculturalisme’
di Malaysia: Peluang dan Cabaran kepada umat Islam”.
‘Multiculturalisme’ atau
kepelbagaian budaya merujuk kepada kepelbagaian etnik dan kebudayaan. Ia
memperlihatkan bagaimana pelbagai kaum yang berbeza agama, budaya dan
cara hidup dapat berkongsi keamanan dan keharmonian.
Ustaz Dr Isa yang juga pensyarah di fakulti pendidikan UKM berkata,
golongan Islam tertentu yang membawa ideologi liberalisme cuba untuk
mempraktikan Islam tanpa terikat dengan pandangan ulamak muktabar malah
membuat tafsiran logik akal sendiri, sehingga menyebabkan ia tersimpang
jauh dari ajaran Islam yang sebenar.“Mereka juga menyokong diberikan hak kebebasan kepada golongan Syiah dan pengamal ‘LGBT’ atas dasar hak asasi manusia,” ujarnya lagi. Beliau mengingatkan hadirin agar sentiasa peka dengan ancaman liberalisme. Beliau menambah lagi, malangnya terdapat parti-parti politik samada daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang dilihat semakin tunduk kepada tuntutan orang bukan Islam.
“Umat Islam boleh berkawan dengan orang bukan Islam tetapi tidak boleh tunduk kepada mereka. Sebaliknya, umat Islam perlu berasa izzah dan memiliki jati diri tinggi dan berjiwa besar,” katanya.
Selain itu, program Usrah Umum yang diadakan secara bulanan ini juga membincangkan isu-isu ‘multicuralisme’ dan perpaduan seperti sekolah vernakular, kristianisasi, pluralisme, cauvenis cina dan politik.
No comments:
Post a Comment