Saturday, 23 November 2013

Keputusan UPR di Geneva: Umat Islam diminta bersatu suara

 

KUALA LUMPUR 19 Okt. - Umat Islam di negara ini diminta bersatu suara demi memastikan keputusan pembentangan sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) di Geneva, Switzerland yang bakal diputuskan 31 Oktober ini berpihak kepada kerajaan.

Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya berkata, dengan menolak perbezaan fahaman politik, suara kuat umat Islam itu penting bagi memastikan kesucian agama tersebut terpelihara sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan. 

"Jangan biarkan pihak tertentu mencemari Islam dengan ancaman fahaman liberalisme yang kini dilihat semakin menular di negara ini kerana boleh meruntuhkan agama dan keselamatan negara," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah dalam seminar Ancaman Liberalisme Oleh Kumpulan-Kumpulan Hak Asasi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) anjuran bersama Biro Dakwah Isma Gombak dan Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, beliau akan mewakili Isma untuk menyertai delegasi sebanyak 17 anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia ke Geneva sebagai kumpulan sokongan dalam waktu terdekat.

Selain memberi penjelasan, tambahnya, delegasi itu turut membawa misi khas iaitu melobi seramai mungkin anggota PBB dari 50 negara bagi menentukan keputusan berpihak kepada kerajaan. 

Beliau berkata, persediaan rapi telah dibuat bagi memperjelas beberapa laporan tuntutan yang dibuat sebuah gabungan NGO atas nama Coalition of Malaysia NGOs (Comango) kepada PBB untuk dibentangkan dalam sesi UPR itu. 

Dalam masa sama, beliau difahamkan wakil Comango yang turut disertai Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk S. Ambiga sudah berada Geneva sejak sebulan lalu.
"Delegasi kumpulan sokongan pertama kita pula hanya berlepas ke Geneva kira-kira dua hari lalu dan difahamkan satu lagi delegasi akan menyusul malam ini seterusnya pada 22 Oktober ini. Hanya doa umat Islam di negara ini sahaja dapat mengiringi kejayaan kita kelak," katanya. 

Comango yang dilihat sebagai 'ejen' Barat dengan agenda menjatuhkan Islam menerusi perjuangan hak asasi manusia sebelum ini membuat beberapa tuntutan yang menyentuh mengenai hak kebebasan beragama.
Pertubuhan itu malah turut meminta kerajaan mengiktiraf hak berlandaskan kesaksamaan jantina termasuk lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), penghapusan keistimewaan Melayu selain mempersoal larangan ajaran Syiah dan pengislaman anak oleh ayah atau ibu seorang Islam.

No comments:

Post a Comment