Skudai, 14 Dis – Tuntutan Coalition of Malaysian Ngo (Comango –
gabungan NGO-NGO pro-liberal), adalah kesinambungan daripada tuntutan
Interfaith Council (IFC) yang mana isu tersebut sudah lebih sepuluh
tahun diperkatakan.
Demikian ujar Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Tuan
Haji Aminuddin Yahaya dalam program Jelajah Arus Siswa (JELAS) yang
bertajuk ‘COMANGO : Pengkhianat Negara’ di Universiti Teknologi Malaysia
(UTM), Skudai, baru-baru ini.
Menurut beliau lagi jika ditelusuri isi kandungan Comango dan IFC ternyata kedua-duanya tiada jauh beza.
“Sebagai contoh kedua-duanya menuntut seseorang anak yang dilahirkan
oleh ibubapa Islam tidak terus menjadi Islam, pelajaran agama bukan
Islam diajar di semua sekolah, orang- orang bukan Islam yang telah
memeluk agama Islam diberikan kebebasan murtad dan sebarang kes
pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak dikendalikan oleh
mahkamah syariah tetapi dikendalikan oleh mahkamah sivil.
“Ini menunjukkan bahawa ada usaha individu-individu atau
pertubuhan-pertubuhan tertentu yang ingin mengubah status negara
Malaysia daripada sebuah negara Islam kepada sebuah negara liberal,”
ujarnya.
Dalam sesi pembentangan kertas kerja tersebut, Hj Aminuddin turut
menjelaskan bahawa Comango tiada hak untuk mengubah dasar perlembagaan,
tetapi mereka boleh memberikan tekanan kepada negara.
Beliau turut menyebut beberapa kesan terhadap negara dan umat Islam
sekiranya kerajaan Malaysia tidak membantah tuntutan-tuntutan Comango
tersebut.
“Banyak mudarat dan kesan buruk yang akan menimpa negara dan umat
Islam akibat daripada tuntutan Comango; umpamanya generasi akan datang
bebas menukar status kepada agama lain, pencairan institusi Melayu,
pemindaan undang-undang syariah dan banyak lagi.
“Kita wajib menentang tuntutan Comango kerana kebebasan hak asasi
yang diperjuangkan dalam tuntutan tersebut ternyata mengikut neraca
barat dan dilihat mengancam kedudukan Islam sebagai agama persekutuan,”
katanya.
Hj Aminuddin yang juga merupakan wakil ISMA yang hadir ke Geneva
untuk membalas hujah Comango, turut menyeru agar orang-orang Melayu
bersatu demi kedaulatan Islam di Malaysia.
Program JELAS siri kedua anjuran Persatuan Belia Islam Nasional
(PEMBINA) cawangan Johor dengan kerjasama Ikatan Muslimin Malaysia
(ISMA) cawangan Johor bertujuan memberi pendedahan mengenai agenda
Comango dan menyedarkan mahasiswa tentang ancaman Comango terhadap masa
depan Islam dan negara Malaysia.
Seramai lebih 300 orang peserta hadir dan menandatangani petisyen membantah tuntutan Comango.
Orang ramai diseru untuk menandatangani petisyen membantah tuntutan Comango di link berikut:
http://www.ismaweb.net/v4/2013/12/comango-kesinambungan-tuntutan-ifc/
No comments:
Post a Comment