December 19, 2013
Tuntutan Comango mengajak kita untuk memikirkan sejenak kedudukan dan peranan hidup sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini. Oleh itu, kita harus merenung perjalanan hidup umat ini dalam perspektif sejarah kerana umur kita hanyalah umpama sedetik dari sejarah manusia yang sangat panjang.
Pemikiran kita membawa kita kepada suasana di
Mekah lebih 1400 tahun dahulu.Tiada siapa akan menjangka perubahan tamadun
manusia moden akan bermula di sebuah kawasan kering kontang sebegitu. Tiada
siapa yang menyangka, dalam kurang daripada 50 tahun 2 tamadun besar dan
berpengaruh di rantau Arab – Parsi dan Byzantine (Rom Timur) akan tewas kepada
tamadun Islam.
Tiada siapa akan menyangka, mesej tauhid dari
kawasan padang pasir tersebut akan bergema ke seluruh pelusuk dunia dengan
ajaran aqidah yang jelas dan mudah – Tiada tuhan melainkan Allah, Nabi Muhammad
pesuruh Allah. Ajaran Islam datang menjelaskan hak-hak kemanusiaan, menerangkan
tanggungjawab kemanusiaan dan membataskan kehendak nafsu kemanusiaan. Islam
membebaskan manusia daripada perhambaan sesame manusia kepada keluasan
penyembahan tuhan Yang Maha Tunggal, Allah swt.
Namun, zaman kegemilangan tamadun Islam ketika
dunia Eropah masih bergelumang dengan Zaman Kegelapan (Dark Ages) adalah sangat
pendek dibandingkan dengan sejarah kemanusiaan secara keseluruhan. Jika kita
meneliti sejarah manusia berpandukan keimanan kepada Allah, kita akan dapati
dunia ini lebih menyerupai pemabuk dan tempoh mabuk sebenarnya lebih panjang
daripada tempoh sedar.
Selepas interaksi dengan tamadun Islam di Andalus
(Sepanyol) dan Palestin, tamadun barat mula mempersoalkan pemerintahan
theokratik gereja. Tamadun mereka melalui zaman Renainsance, Reformation dan
Industrial Revolution seterusnya bangkit dan meninggalkan tamadun Islam di
belakang. Materialisme (cinta kekayaan) dan hedonisme (kepuasan nafsu) menjadi
asas kepada tamadun mereka manakala umat Islam semakin alpa dan meninggalkan
ajaran Islam yang sebenar.
Zaman Imperialisme datang lalu menguburkan payung
pemerintahan Islam. Umat Islam berpecah dan sedikit demi sedikit negara umat
Islam dijajah tamadun barat. Giliran tamadun Islam pula melalui zaman kegelapan
akibat kelalaian umat Islam sendiri.
Namun, kegelapan tersebut umpama gerhana matahari
yang berlaku sebentar sahaja. Umat Islam mula mengenali jati diri mereka lalu
mula berjuang mencapai kemerdekaan. Ketika umat Islam sedang memperjuangkan
kemerdekaan sambil mencari identiti Islam kembali, tamadun Barat memperkenalkan
Hak-hak Kemanusiaan Sejagat (Universal Declaration of Human Rights) pada tahun
1948. Mulai 1965 hingga 2008 hak-hak kemanusiaan tersebut telah melalui proses
evolusi dan pada hari ini ia terdiri daripada 9 perkara asas yang terangkum
kepada Hak Asasi Kemanusiaan Sejagat (Core International Human Rights).
Badan-badan ditubuhkan untuk memantau perlaksanaan hak sejagat ini dan setiap
negara 4 tahun sekali akan melaporkan perkembangan hak-hak kemanusiaan melalui
proses Universal Periodic Review (UPR) yang diasaskan oleh Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2006. Majlis Hak Asasi Manusia (Human
Rights Council HRC) PBB adalah pengelola kepada proses ini. Maka melalui forum
inilah, Comango yang terdiri daripada 54 pertubuhan bukan kerajaan menjadi
kumpulan sukarelawan yang mendesak kerajaan Malaysia agar menandatangani
kesemua 9 perkara Hak Asasi Kemanusiaan Sejagat tersebut tanpa sebarang
pengecualian.
Mungkin ada yang akan mengatakan, apa salahnya
perkara-perkara asas tersebut? Kesemuanya baik dan bersesuaian dengan fitrah
manusia. Tiada yang salah pada tuntutan Comango tersebut. Namun, mereka yang
beriman dan mengamatinya akan mendapati bahawa ada unsur tersembunyi terkandung
di dalam tuntutan tersebut yang bertentangan dengan ajaran Islam dan menggugat
kepemimpinan Islam di bumi Malaysia.
Kebatilan tidak tersebar dalam kehidupan manusia di
dalam keadaan ia menzahirkan kepalsuannya atau mendedahkan kebatilannya. Itu
tidak akan berlaku sama sekali. Sebaliknya kebatilan melindungi kejahatannya
dengan pakaian kesungguhan dan meminjam pakaian kebenaran. Kadangkala kebatilan
ini mengambil sebahagian daripada kebenaran dan sebahagian daripada natijahnya
seperti bermula dengan hak-hak wanita, kanak-kanak, pekerja dan sebagainya. Ia
mempunyai sekelumit kebenaran namun apabila dilihat lebih mendalam terdapat
padanya gugusan kepalsuan yang ingin merobek-robek jati diri Islam umat ini
dalam bentuk yang akhirnya akan memesongkan manusia daripada Allah swt.
Tuntutan Comango menyerang umat Islam bukan dengan
jelas seperti lebah menyerang bunga yang tumbuh mekar untuk menghasilkan
sesuatu yang baik seperti madu. Tetapi ia menyerang umpama ulat dan belalang
menyerang kebun yang subur menjadi parang jarak padang tekukur.
Inilah rahsia kenapa mereka akan mendakwa bahawa
tuntutan mereka tidak bertentangan dengan Islam dan mereka akan secara am
mengatakan bahawa Islam tidak tergugat dengan perlaksanaan tuntutan mereka.
Inilah juga rahsia mengapa ada umat Islam yang terpedaya dengan tuntutan
mereka.
Masakan tidak tergugat? Di dalam laporan Comango
kepada HRC:
- Bukankah mereka menggesa di dalam perkara 10 laporan mereka tersebut agar Malaysia menandatangani International Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR) dan di dalam Artikel 18 ICCPR mengandungi hak kebebasan beragama. Kebebasan untuk memilih agama atau kepercayaan termasuk hak seseorang untuk menukar agama yang dianuti. Malah antara contoh yang diberi adalah perlunya menolak atau mengurangkan kuasa mahkamah syariah (perkara 9.5) dan memberi kebebasan untuk ajaran Syiah berkembang di Malaysia (perkara 10.1.6).
- Bukankah mereka juga menggesa (perkara 6.2) agar Malaysia menandatangani International Covenant on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD). Implikasi perkara ini akan mengheret kepada isu perkauman dan mencabar status quo yang melibatkan kedudukan orang Melayu dan Islam di Malaysia sepertimana yang terdapat di dalam Perlembagaan Malaysia dan semangat kontrak sosial.
- Bukankah mereka juga menggesa (perkara 6.1) agar Malaysia mengiktiraf hak-hak Sexual Orientation and Gender Identity (SOGI) terutamanya hak-hak lesbian, bisexsual, gay, transgender, inter-sexed, queer (LGBTIQ). Tuntutan ini turut merangkumi kepada amalan kebebasan orientasi seksual songsang termasuk memberi kebenaran untuk mengiktiraf perkahwinan sesame jenis. Malah, contoh yang dikemukakan (perkara 6.1.1) yang mereka kesali adalah bagaimana pusat urut di Pulau Pinang yang menawarkan perkhidmatan seks songsang gay diserbu pihak berkuasa sebanyak 4 kali.
Soalan penting – bagaimanakah sikap kita terhadap
mereka?
Sebagai umat Islam kita harus menolak dengan keras
tuntutan-tuntutan Comango yang bertentangan dengan prinsip Islam. Ada
perkara yang kerajaan Malaysia boleh ratifikasi namun ada perkara yang kerajaan
Malaysia harus berhati-hati dengan tipu helah tuntutan mereka. Hakikatnya,
kerajaan Malaysia dan rakyat Malaysia khususnya harus melihat tuntutan Comango
sebagai usaha untuk menukar rupa bentuk jati diri negara Malaysia kepada acuan
barat yang akan mengancam keharmonian negara.
Cukuplah dengan titah Raja Nazrin Shah di Majlis
Wacana Perpaduan Ummah 19 Februari 2013 Kuala Lumpur sebagai peringatan tentang
asas jati diri dan asal-usul negara Malaysia:
“Ketika bangsa bagaikan mabuk dilambung ombak
globalisasi, amatlah perlu untuk bangsa diperingatkan kepada fakta sejarah,
agar Melayu kekal dijadikan konsep yang hidup, tidak dihanyutkan oleh arus
globalisasi. Konsep Melayu hendaklah kekal diaktifkan dengan menghormati bahasa
Melayu, menghargai budaya Melayu, menghayati ajaran Islam, mengekalkan
kedaulatan bangsa yang dilambangkan oleh takhta pemerintahan beraja. Sejauh
mana Beta melaut, Beta senantiasa menjadikan pedoman akan ungkap kata yang
pernah dizahirkan oleh Paduka Ayahanda Beta, Hakim Raja Tan Sri Azlan Shah
ketika dianugerahkan Ijazah Doktor Persuratan olehUniversiti Malaya, pada 30
Jun 1979;
Petikan:“ …bahawa Malaysia adalah sebuah negara
berbilang kaum, berbilang bangsa, berbilang agama, berbilang adat resam. Tetapi
walaubagaimanapun, kita perlu ingat, dan jika kita tidak ingat, maka kita
seharusnyalah diperingatkan, bahawa dalam negara yang semuanya berbilang itu,
mestilah ada suatu asas di mana kita mesti menumpukan perhatian.
Dalam konteks
ini, Malaysia telah wujud hasil dari antuman tiga wilayah, Persekutuan Tanah
Melayu, Sabah dan Sarawak. Persekutuan Tanah Melayu pula diasaskan atas tapak
kesultanan Melayu Melaka…; Perkataan ‘Negeri Melayu Bersekutu’, ‘Negeri Melayu
Tidak Bersekutu’ dan ‘Persekutuan Tanah Melayu’ masih wujud dalam undang-undang
kita.
Dengan lain perkataan, negara Malaysia adalah berteraskan kepada sejarah
Melayu, evolusi politik Melayu, nasionalisme Melayu yang hidup subur dan
kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan Melayu….Faktor-faktor dan
hakikat inilah yang melahirkan Negeri-negeri Melayu, Persekutuan Tanah Melayu
dan akhirnya Malaysia”.
Abu Ameen
Aktivis ISMA
Aktivis ISMA
http://www.ismaweb.net/v4/2013/12/ancaman-comango-dan-realiti-malaysia/
No comments:
Post a Comment