BANGI, 20 Dis – Isu-isu yang mengancam kedudukan
agama Islam dan perlembagaan adalah suatu perkara yang ‘real’
(sebenar) dan bukan momokan politik.
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia, Ustaz Abdullah
Zaik Abd Rahman mengingatkan umat Islam bahawa untuk membina perpaduan, isu-isu
yang mencabar umat Islam perlu dilihat sebagai ancaman sebenar dan diberi
perhatian menerusi kaca mata akademik dan penilaian realiti.
“Ramai daripada kita tidak mengkaji dan tidak
membaca, lalu kita menjadikan benda itu simple (mudah), kita
menamakan ia sebagai momokan politik lalu kita melepaskan diri daripada
tanggungjawab. ISMA mengkaji apakah sebenarnya yang sedang berlaku dalam
masyarakat. Apakah ancaman daripada pihak globalisasi sebagai momokan politik?
Tidak. Ataupun rancangan Evangelis Kristian, adakah ia momokan politik? Saya
fikir tidak.
“Begitu juga pengaruh liberalisme dan pluralisme,
itu pun tidak. Itu adalah ancaman yang real (sebenar). Ia
ditulis dan dikaji dalam penulisan kajian-kajian yang telah dikemukakan oleh
berbagai-bagai pihak,” kata beliau dalam rancangan Dimensi terbitan Media ISMA
baru-baru ini.
Tambahnya, ancaman globalisasi seperti AFTA dan
TPPA juga merupakan ancaman sebenar dan ia bukan momokan politik oleh mana-mana
parti.
Ujar Ustaz Abdullah, realiti ini perlu disedari
dan diinsafi oleh seluruh umat Islam termasuk ahli politik Islam bagi
mewujudkan perpaduan di kalangan umat Islam.
Baginya, perpaduan boleh dicapai melalui pelbagai
wasilah termasuk muzakarah di kalangan umat Islam.
“Wasilah perpaduan pelbagai, yang paling penting
ialah keinsafan, sejauh mana kita memahami cabaran dan situasi yang ada,”
katanya lagi.
Beliau juga menasihati ahli politik agar memahami
realiti umat Islam yang kini dilanda pelbagai ancaman dan bersikap ikhlas jika
ingin mencapai persepakatan.
“Untuk bersatu kena faham realiti umat dan kena
insaf kemudian kena ikhlas, perlu menunjukkan niat baik, kemudian menjauhi
daripada menuduh niat. Ahli politik juga perlu hentikan sikap sentiasa
hendak menang ke atas musuh politiknya.
“Orang politik sepanjang hayat dia nak lawan musuh
politik dia. Buatlah apa pun selagi sikap itu masih ada, satu nak menang ke
atas kumpulan lain, nak dominasi, nak manipulasi, nak bersiyasah dalam
kepentingan umat ini, saya fikir itu tidak akan bawa ke mana-mana,” kata
beliau.
No comments:
Post a Comment