Wednesday, 27 August 2014
Contohi Salafussoleh Ulangi Kegemilangan Islam
BANGI, 28 Ogos. - “Salafussoleh, generasi awal Islam begitu ghairah untuk melihat umat Islam soleh (tunduk dan patuh pada syariat), bahkan mereka (salafussoleh) tampil ke hadapan menjadi rijal ‘ammah; membimbing manusia dan menjadi contoh ikutan,” demikian ujar Ustaz Dr Mohd Isa Hamzah, Ahli Tertinggi Majlis Ulama’ ISMA (MUIS) di sini semalam.
Ustaz Dr Mohd Isa yang juga Pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata demikian ketika menyampaikan pengisian sebagai Naqib Usrah Umum Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Daerah Hulu Langat (DHL). Memetik pepatah Arab yang bermaksud, ‘perbaikilah diri kamu dan serulah masyarakat (ke arah kebaikan)’, beliau turut menyeru ahli usrah untuk tidak hanya berpada menjadi soleh untuk diri sendiri, sebaliknya sama-sama berperanan mengajak masyarakat untuk menjadikan Islam sebagai panduan hidup.
Menyentuh berkenaan tajuk Usrah Umum kali ini; “Sejarah Gerakan Islam”, Ustaz Dr Mohd Isa menyampaikan secara ringkas perkembangan gerakan-gerakan Islam seluruh dunia selepas kejatuhan Khalifah Islam yang terakhir kerajaan Turki Uthmaniyyah, Sultan Abdul Hamid II.
Di Turki, terkesan dengan Gerakan Jamaah An-Nur yang diasaskan oleh Syeikh Badi’uzzaman Saied An-Nursi, masyarakat Turki yang pernah melalui zaman sekular yang panjang, semakin menerima kembali nilai, prinsip dan syiar Islam. Usaha ini diteruskan secara tidak langsung oleh pimpinan Turki hari ini khususnya melalui Parti AK pimpinan tokoh masyhur, Erdogan. Sehingga hari ini, Jamaah An-Nur masih bergerak di Turki dan beberapa buah negara termasuk Malaysia.
Ustaz Dr Isa turut menyentuh perkembangan beberapa gerakan Islam lain antaranya Jamaat Islami (JI) di Pakistan dan Ikhwanul Muslimin (IM) di Mesir. IM yang telah berkembang sehingga ke lebih 80 buah negara dilihat begitu mempengaruhi perkembangan gerakan-gerakan Islam lain seluruh dunia termasuk di Malaysia.
Dalam penyampaiannya, Ustaz Dr Isa turut mengingatkan hadirin kepentingan memilih pemimpin yang berwibawa untuk memandu masyarakat sebagaimana disarankan dalam Al-Quran, menceritakan sifat Nabi Musa a.s. yang bermaksud: “Sungguh, orang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercayai.[Surah Yusuf:26].
Usrah Umum kali ini yang diadakan di Pejabat ISMA Cawangan DHL dihadiri hampir 50 hadirin. Kepada sesiapa yang berminat untuk sama-sama menyertai Usrah Umum akan datang boleh berhubung dengan Pegawai Perhubungan ISMA Cawangan DHL, Sdr Syed Zahirudin di talian +601137394535.
No comments:
Post a Comment