Bandar Baru Bangi, 26 Feb 2014 ─ ISMA memperkasakan bangsa Melayu bukan kerana memperjuangkan bangsa Melayu, tetapi kerana bangsa Melayu membawa imej Islam di Malaysia. Oleh itu, tidak hairanlah jika musuh-musuh Islam cuba menghancurkan Islam dengan merosakkan jati diri bangsa Melayu serta cuba mempersoalkan hak kesamarataan bangsa. Demikian ditegaskan oleh Yang Di Pertua ISMA Hulu Langat, Mohd Noor Azib Bin Asmangi ketika memberikan penyampaian dalam usrah umum bulanan di Pejabat ISMA Hulu Langat semalam. Menurut beliau, terdapat segolongan puak Kristian yang digelar ‘Evengelist’ yang ditugaskan dalam kerja-kerja mengkristiankan umat Islam di Malaysia.
Di dalam usrah umum semalam beliau menyebut bahawa memang ada hadith yang melarang umat Islam menyeru kepada as-sobiyyah dan hadith inilah yang dicanang-canangkan oleh pihak tertentu untuk merosakkan persepakatan bangsa Melayu. Tetapi terdapat pula hadith lain yang memperincikan lagi maksud larangan tersebut. DI dalam hadith yang lain, terdapat seorang sahabat adakah dia termasuk dalam kalangan kelompok assobiyyah sekiranya dia mencintai kaumnya, Nabi S.A.W menjawab ‘Tidak, akan tetapi termasuk dalam kalangan assobiyyah itu seseorang yang menolong kaumnya ke arah kemungkaran.
Beliau juga turut menyentuh isu Tahaluf Siyasi, iaitu kerjasama politik dengan bukan di mana Islam hanya membenarkan Tahaluf Siyasi dengan bukan Islam sekiranya umat Islam mendominasi keadaan tersebut serta lebih kuat daripada kelompok bukan Islam yang bekerjasama dengan mereka bagi mengelakkan kelompok bukan Islam mengambil kesempatan di atas umat Islam yang lemah pada ketika itu.
Menurut beliau lagi, Islam tidak pernah menolak peranan bangsa dalam pembangunan Islam. Allah menciptakan manusia dari berbagai-bagai bangsa dan suku untuk saling kenal-mengenali serta menggunakan kelebihan masing-masing untuk membina tamadun Islam yang unggul.Di dalam sejarah masyarakat Arab, bangsa Quraisy merupakan bangsa yang paling kuat dan berpengaruh di kalangan bangsa Arab yang lain. Oleh itu, merekalah yang paling layak untuk memimpin masyarakat Arab pada ketika itu.
Dalam usrah tersebut juga beliau juga menyentuh tentang dakwaan yang mengatakan orang Melayu adalah bangsa yang paling ramai terlibat dalam gejala social berbanding bangsa yang lain. Jika dilihat dari sudut angka bilangan sahaja sememangnya orang Melayu adalah yang paling tinggi nilai angkanya dalam keterlibatan gejala sosial. Namun jika dilihat dari sudut peratusan perbezaannya tidaklah terlalu jauh berbanding bangsa yang lain. Hal ini kerana peratus jumlah bangsa Melayu di Malaysia jauh lebih tinggi berbandingkan denga bangsa-bangsa yang. Jadi tidak hairanlah bilangan orang Melayu yang terlibat dengan gejala sosial lebih tinggi nilai angkanya. Walaubagaimanapun, sebenarnya masih ramai orang Melayu yang baik serta mengamalkan cara hidup Islam dan peratusannya juga masih tinggi.Jadi bangsa Melayu bukanlah satu bangsa yang lemah.
Berdasarkan isu semasa beliau berkata terdapat usaha-usaha pihak-pihak tertentu yang cuba manghapuskan identiti bangsa Melayu yang menjadi tonggak kedaulatan Islam di Malaysia antaranya ialah dengan mengadakan dialog perpaduan kaum yang susun atur oleh puak-puak liberalisme bagi meleraikan ikatan umat Islam melalui perpaduan bangsa Melayu. Puak-puak liberalisme ini mendakwa bahawa sudah sampai masanya sempadan bangsa dihapuskan bagi mewujudkan hanya satu bangsa sahaja di Malaysia. Keadaan ini menurut beliau mengancam kedudukan Islam kerana dengan menghapuskan identiti bangsa, maka tidak ada lagi kelompok yang akan menjaga kesucian Islam sekiranya digugat oleh musuh-musuh Islam. Oleh itu, beliau menasihatkan supaya umat Islam tidak terperangkap dengan salah dakwaan bahawa ISMA adalah satu badan NGO yang rasis kerana agenda sebenarnya ingin ditegakkan oleh ISMA adalah Islam itu sendiri
No comments:
Post a Comment