Monday, 9 September 2013

ANCAMAN AKIDAH UMMAT



a. Ancaman fahaman syiah
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa yang telah diadakan pada 24 dan 25 September 1984 mengenai aliran Syiah menetapkan seperti berikut : Jawatankuasa telah mengambil keputusan bahawa hanya Mazhab Syiah dari golongan Al – Zaidiyah dan Jaafariah sahaja yang diterima untuk diamalkan di Malaysia.”

Namun begitu Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada  5 May 1996 telah memansuhkan keputusan tersebut. Muzakarah juga menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlak.  Penerbitan , penyiaran dan penyebaran apa- apa buku, risalah , filem , video dan lain – lain berhubung dengan ajaran Islam yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah diharamkan.

Fatwa Tentang Fahaman Syiah Selangor yang telah diwartakan pada 24 September 1998 juga memutuskan bahawa Fahaman dan Ajaran Syiah adalah bercanggah dan menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah. Fahaman dan ajaran ini perlu disekat keseluruhannya.

Namun begitu, pihak Syiah Malaysia masih lagi  menyebarkan ajaran Syiah di Malaysia dan semakin berani menuntut hak mereka. Jika hal ini dibiarkan, ia akan mengancam akidah umat, perpaduan ummah, keutuhan agama dan keamanan Negara.

b. Ancaman liberalism-pluralisme
Hari ini kita bukan sahaja berhadapan dengan golongan kafir yang membawa agenda liberalisme, tetapi juga orang-orang Islam yang membawa fikrah liberal yang jauh lebih susah untuk ditentang. Golongan Islam liberal cuba untuk mempraktikan Islam tanpa terikat dengan mana-mana pandangan, menyebabkan ia tersimpang jauh dari ajaran Islam yang sebenar.

Sekarang ini semakin giat usaha untuk mencairkan istilah ‘keadilan’ yang mana mereka meletakkan asas keadilan bahawa orang bukan Islam dapat sama seperti apa orang Islam dapat, sedangkan ini adalah bertentangan dengan mafhum kerajaan atau pemerintahan Islam. Penggunaan perkataan Allah dalam kitab Bible terjemahan Bahasa Melayu disokong dan dihujah secara syarak dan aqal tanpa melihat kepada kepentingannya di Malaysia dan kesannya kepada bangsa Melayu khasnya.

Salah satu punca mengapa kita mudah terkeliru antara Islam sebenar dengan Islam liberal adalah kerana golongan Islam Liberal tetap menggunakan dalil Al-Quran dan Hadis tetapi ditafsirkan mengikut akal mereka semata-mata.

Islam Liberal tersebar dengan meluasnya di Indonesia dan telah menyebabkan kecelaruan di dalam masyarakat Islam di sana. Amalan perkahwinan campur (berlainan agama), perkahwinan sejenis dan pluralisme agama adalah antara contoh bagaimana fahaman Islam liberal telah memporak-perandakan masyarakat Islam. 


c. Ancaman krisitianisasi dan isu murtad
 Agenda kristianisasi adalah satu usaha yang sudah berjalan begitu lama dan sememangnya projek itu bertujuan untuk mengkristiankan orang Islam. Amat malang kerana sebahagian orang Islam menganggap bahawa usaha-usaha untuk mengkristiankan orang Islam hanyalah satu cerita yang sengaja direka-reka.

Pendakwah bebas, Ustaz Muhamad Abdullah Al-Amin telah menjumpai helaian kertas berkenaan agenda kritianisasi ketika berada di Palestin . Antara tulisannya ;

 Decree For Malaysia, “We decree and declare that Malaysia will be a “Rainbow Nation” in seding missonaries to bring the gospel to the surrounding nations as well as be the gateway to open its doors to outside missionaries to preach the gospel here..

Isu terjemahan Bible ke dalam Bahasa Melayu dan permintaan oleh penganut agama Kristian agar membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible terbitan Bahasa Melayu adalah antara agenda mereka. Duta Vatican City ke negara ini juga  menyokong penggunaan kalimah ALLAH di kalangan penganut Kristian. Penggunaan kalimah Allah bagi orang Kristian di negara ini akan membuka ruang untuk perjuangan pluralisme dan kristianisasi.

Terdapat dua tujuan utama gerakan Kristianisasi. Pertama, memasukkan orang Islam ke dalam agama Kristian. Kedua, menjauhkan orang Islam daripada agama Islam. Samuel Zwemer semasa Persidangan Kristian di Quds pada tahun 1935 M berkata:

“….. tugas mubaligh Kristian di negara-negara lslam yang telah ditaja oleh negara-negara Kristian bukanlah berusaha untuk mengkristiankan umat lslam, kerana mereka sedar orang Islam memegang pendirian bahawa agama Islam merupakan suatu petunjuk dan penghormatan bagi mereka. Tetapi tugas kalian yang terpenting ialah memurtadkan orang lslam keluar dari agama mereka agar menjadi orang yang sama sekali tidak mempunyai hubungan dengan Allah kemudian tidak mempunyai hubungan dengan moral yang telah menjadi landasan hidup seluruh bangsa.”

Dengan ini, matlamat utama Kristianisasi tidak semestinya untuk memasukkan orang Islam ke dalam agama Kristian tetapi cukup dengan mengeluarkan orang Islam daripada agamanya.

Kajian bagi tahun 1994 hingga mei 1997 menunjukkan sebanyak 519 permohonan bertukar nama atas alasan ingin keluar dari Islam atau murtad. Walau bagaimanapun 48% sahaja yang diluluskan oleh JPN manakala 52% lagi telah ditolak atau ditarik balik oleh pemohon.

Pada hari ini, gerakan Kristianisasi berselindung di sebalik alasan kebebasan beragama. Sebenarnya tindakan mereka terang-terangan telah melanggar peruntukan perlembagaan di dalam Perkara 11 (4) yang tidak membenarkan sebarang aktiviti mengajak orang Islam keluar daripada agama itu.

Pihak Biro Dakwah dan Syukbah ISMA DHL sedia bekerjasama untuk menyediakan penceramah mengenai ancaman di atas di masjid, surau atau mana-mana tempat yang bersesuaian.

No comments:

Post a Comment