Saturday, 22 March 2014
Tuesday, 11 March 2014
ISLAM TIDAK MENOLAK PERANAN BANGSA
Bandar Baru Bangi, 26 Feb 2014 ─ ISMA memperkasakan bangsa Melayu bukan kerana memperjuangkan bangsa Melayu, tetapi kerana bangsa Melayu membawa imej Islam di Malaysia. Oleh itu, tidak hairanlah jika musuh-musuh Islam cuba menghancurkan Islam dengan merosakkan jati diri bangsa Melayu serta cuba mempersoalkan hak kesamarataan bangsa. Demikian ditegaskan oleh Yang Di Pertua ISMA Hulu Langat, Mohd Noor Azib Bin Asmangi ketika memberikan penyampaian dalam usrah umum bulanan di Pejabat ISMA Hulu Langat semalam. Menurut beliau, terdapat segolongan puak Kristian yang digelar ‘Evengelist’ yang ditugaskan dalam kerja-kerja mengkristiankan umat Islam di Malaysia.
Di dalam usrah umum semalam beliau menyebut bahawa memang ada hadith yang melarang umat Islam menyeru kepada as-sobiyyah dan hadith inilah yang dicanang-canangkan oleh pihak tertentu untuk merosakkan persepakatan bangsa Melayu. Tetapi terdapat pula hadith lain yang memperincikan lagi maksud larangan tersebut. DI dalam hadith yang lain, terdapat seorang sahabat adakah dia termasuk dalam kalangan kelompok assobiyyah sekiranya dia mencintai kaumnya, Nabi S.A.W menjawab ‘Tidak, akan tetapi termasuk dalam kalangan assobiyyah itu seseorang yang menolong kaumnya ke arah kemungkaran.
Beliau juga turut menyentuh isu Tahaluf Siyasi, iaitu kerjasama politik dengan bukan di mana Islam hanya membenarkan Tahaluf Siyasi dengan bukan Islam sekiranya umat Islam mendominasi keadaan tersebut serta lebih kuat daripada kelompok bukan Islam yang bekerjasama dengan mereka bagi mengelakkan kelompok bukan Islam mengambil kesempatan di atas umat Islam yang lemah pada ketika itu.
Menurut beliau lagi, Islam tidak pernah menolak peranan bangsa dalam pembangunan Islam. Allah menciptakan manusia dari berbagai-bagai bangsa dan suku untuk saling kenal-mengenali serta menggunakan kelebihan masing-masing untuk membina tamadun Islam yang unggul.Di dalam sejarah masyarakat Arab, bangsa Quraisy merupakan bangsa yang paling kuat dan berpengaruh di kalangan bangsa Arab yang lain. Oleh itu, merekalah yang paling layak untuk memimpin masyarakat Arab pada ketika itu.
Dalam usrah tersebut juga beliau juga menyentuh tentang dakwaan yang mengatakan orang Melayu adalah bangsa yang paling ramai terlibat dalam gejala social berbanding bangsa yang lain. Jika dilihat dari sudut angka bilangan sahaja sememangnya orang Melayu adalah yang paling tinggi nilai angkanya dalam keterlibatan gejala sosial. Namun jika dilihat dari sudut peratusan perbezaannya tidaklah terlalu jauh berbanding bangsa yang lain. Hal ini kerana peratus jumlah bangsa Melayu di Malaysia jauh lebih tinggi berbandingkan denga bangsa-bangsa yang. Jadi tidak hairanlah bilangan orang Melayu yang terlibat dengan gejala sosial lebih tinggi nilai angkanya. Walaubagaimanapun, sebenarnya masih ramai orang Melayu yang baik serta mengamalkan cara hidup Islam dan peratusannya juga masih tinggi.Jadi bangsa Melayu bukanlah satu bangsa yang lemah.
Berdasarkan isu semasa beliau berkata terdapat usaha-usaha pihak-pihak tertentu yang cuba manghapuskan identiti bangsa Melayu yang menjadi tonggak kedaulatan Islam di Malaysia antaranya ialah dengan mengadakan dialog perpaduan kaum yang susun atur oleh puak-puak liberalisme bagi meleraikan ikatan umat Islam melalui perpaduan bangsa Melayu. Puak-puak liberalisme ini mendakwa bahawa sudah sampai masanya sempadan bangsa dihapuskan bagi mewujudkan hanya satu bangsa sahaja di Malaysia. Keadaan ini menurut beliau mengancam kedudukan Islam kerana dengan menghapuskan identiti bangsa, maka tidak ada lagi kelompok yang akan menjaga kesucian Islam sekiranya digugat oleh musuh-musuh Islam. Oleh itu, beliau menasihatkan supaya umat Islam tidak terperangkap dengan salah dakwaan bahawa ISMA adalah satu badan NGO yang rasis kerana agenda sebenarnya ingin ditegakkan oleh ISMA adalah Islam itu sendiri
MANHAJ NUBUWWAH FORMULA KEBANGKITAN UMMAH
Bandar Putra Kajang -29 Januari 2014
"Umat Islam tidak akan bangkit dan menjadi lebih baik melainkan dengan mengikuti jalan yang pernah membaikkan umat ini", tegas Ustaz Bilal Jailani. Itulah manhaj nubuwwah iaitu dakwah dan tarbiyyah yang merupakan agenda utama baginda S.A.W tatkala memulakan dakwahnya di Mekah. Negara Islam Madinah tidak akan tertegak kukuh kalau tidak kerana tarbiyah.
Dalam Usrah umum malam tadi, Ustaz Bilal telah membentangkan tentang sejarah dan kehebatan Umat Islam dahulu kala, yang telah menawan 2/3 dunia waktu dulu. Beberapa faktor kejayaan dan keruntuhan umat Islam turut dinyatakan bagi memberi perbandingan yang jelas antara umat Islam dahulu dan sekarang.
Ustaz Bilal mula menceritakan dakwah Rasululullah secara sulit di Makkah. Beliau mengangap generasi awal Islam adalah orang yang sangat hebat kerana dapat menerima dakwah tatkala Islam masih lagi asing dan mendapat tentangan yang sangat hebat.
Program ini diteruskan dengan pembentangan zaman kegemilangan Islam dari Zaman Bani Umayyah , Bani Abasiyah serta Bani Uthmaniah sehingga kejatuhan institusi khalifah pada tahun 1924.Kesan daripada kejatuhan tersebut, keadaan umat Islam telah menjadi kucar-kacir. Umat Islam ditindas, dihina dan ditekan diseluruh dunia.
Kesimpulannya, kita menginsafi tentang wujudnya fasa turun dan fasa naik sejarah umat. Justeru, adalah tidak wajar untuk kita sekadar memerhatikan sejarah ini berlalu tetapi kita mesti bertindak membina sejarah yang baru.
Persamaan keadaan masyarakat pada hari ini dengan zaman Jahiliyah zaman Rasulullah sudah jelas memberikan gambaran bahawa kaedah yang paling sesuai adalah melakukan pendekatan yang dilakukan oleh Rasulullah ketika di zaman Mekah
Ustaz Bilal mengajak hadirin merasa tanggungjawab untuk kembali memartabatkan Islam di dunia ini. Beliau menegaskan keimanan yang tinggi dan gerak kerja yang tersusun adalah penting untuk umat Islam bangkit.
Beliau juga berpesan agar hadirin dapat memahami dan mentadabur alquran serta sentiasa bersama alquran. Beliau juga mencadangkan hadirin dapat mencontohi saudara di Infonesia yang mengamalkan "one day one juz" (ODOJ) bersama-sama.

