Showing posts with label usrah umum. Show all posts
Showing posts with label usrah umum. Show all posts

Tuesday, 11 March 2014

MANHAJ NUBUWWAH FORMULA KEBANGKITAN UMMAH



Bandar Putra Kajang -29 Januari 2014

"Umat Islam tidak akan bangkit dan menjadi lebih baik melainkan dengan mengikuti jalan yang pernah membaikkan umat ini", tegas Ustaz Bilal Jailani. Itulah manhaj nubuwwah iaitu dakwah dan tarbiyyah yang merupakan agenda utama baginda S.A.W tatkala memulakan dakwahnya di Mekah. Negara Islam Madinah tidak akan tertegak kukuh kalau tidak kerana tarbiyah.

Dalam Usrah umum malam tadi, Ustaz Bilal telah membentangkan tentang sejarah dan kehebatan Umat Islam dahulu kala, yang telah menawan 2/3 dunia waktu dulu. Beberapa faktor kejayaan dan keruntuhan umat Islam turut dinyatakan bagi memberi perbandingan yang jelas antara umat Islam dahulu dan sekarang.

Ustaz Bilal mula menceritakan dakwah Rasululullah secara sulit di Makkah. Beliau mengangap generasi awal Islam adalah orang yang sangat hebat kerana dapat menerima dakwah tatkala Islam masih lagi asing dan mendapat tentangan yang sangat hebat.

Program ini diteruskan dengan pembentangan zaman kegemilangan Islam dari Zaman Bani Umayyah , Bani Abasiyah serta Bani Uthmaniah sehingga kejatuhan institusi khalifah pada tahun 1924.Kesan daripada kejatuhan tersebut, keadaan umat Islam telah menjadi kucar-kacir. Umat Islam ditindas, dihina dan ditekan diseluruh dunia.

Kesimpulannya, kita menginsafi tentang wujudnya fasa turun dan fasa naik sejarah umat. Justeru, adalah tidak wajar untuk kita sekadar memerhatikan sejarah ini berlalu tetapi kita mesti bertindak membina sejarah yang baru.

Persamaan keadaan masyarakat pada hari ini dengan zaman Jahiliyah zaman Rasulullah sudah jelas memberikan gambaran bahawa kaedah yang paling sesuai adalah melakukan pendekatan yang dilakukan oleh Rasulullah ketika di zaman Mekah

Ustaz Bilal mengajak hadirin merasa tanggungjawab untuk kembali memartabatkan Islam di dunia ini. Beliau menegaskan keimanan yang tinggi dan gerak kerja yang tersusun adalah penting untuk umat Islam bangkit.

Beliau juga berpesan agar hadirin dapat memahami dan mentadabur alquran serta sentiasa bersama alquran. Beliau juga mencadangkan hadirin dapat mencontohi saudara di Infonesia yang mengamalkan "one day one juz" (ODOJ) bersama-sama.

Friday, 29 November 2013

SYAHADAH YANG BENAR: JELASKAN KEBENARAN DAN KRITIK IDEOLOGI YANG SALAH









27.11.2013, Bandar Baru Bangi- Kita perlu mengkritik segala teori dan ideologi yang bersalahan dengan kebenaran seperti liberalisme, pluralisme dan LGBT selain dari menjelaskan kebenaran yang telah disampaikan oleh nabi dan rasul, tegas Ustaz Dr Mohd Azizi. Pendekatan untuk menghadapi golongan ini perlulah berhikmah dan tegas. Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk mengkritik dengan jujur berlandaskan ilmu dan kajian agar tidak lagi timbul keraguan.

Syahadatul Haq merupakan ucapan Syeikh Abul Al-A’la al-Maududiyy untuk menjelaskan erti dakwah Islam. Dalam ucapannya, al-Maududi menyatakan dakwah yang ditujukan kepada umat Islam ialah mengajak mereka merasai tanggungjawab besar yang diletakkan di bahu mereka. Sepatutnya seseorang itu merasai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebaik sahaja  melafazkan syahadah ini. 

Dalam Usrah Umum kali ini, Ustaz Dr Azizi menjelaskan tentang    Syahadatul-Haq bukan sekadar mengimani kewujudan Allah, malaikatNya, kitabNya, rasulNya dan hari akhirat. Malah tanggungjawab syahadah ini juga tidak cukup setakat mendirikan sembahyang, puasa, zakat dan haji. Ia juga  tidak cukup sekadar anda melaksanakan undang-undang syarak dalam urusan peribadi.

Tanggungjawab syahadah ini ialah kita semua melaksanakan di hadapan seluruh alam segala hak Syahadah Al-Haq. Hakikatnya, syahadah ini hanya terlaksana apabila orang-orang yang beriman menyampaikan kalimah hak ke seluruh bangsa manusia dalam bentuk amal soleh, akhlak yang terpuji dan pemerintahan yang adil. Syahadatul haq adalah persaksian terhadap kebenaran di dalam hati dan melaksanakan tuntutannya.  Maksudnya ialah seseorang itu masih tidak membuat penyaksian terhadap kebenaran syahadah sehingga menyampaikan dakwah kepada orang lain atau menjadi seorang dai’e. 

Tanggungjawab syahadah dan menyampaikan dakwah ini perlu dipikul oleh seluruh umat Islam setelah ketiadaan nabi dan rasul.  Allah telah berfirman tentang kewajipan melaksanakan Syahadah Al-Haq :

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikankamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orangyang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) danRasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatankamu.  (Al-Baqarah: 143)


Namun begitu,  berapa  ramaikah orang yang mengucap dua  kalimah syahadah tetapi tidak mengetahui persaksian yang benar dan tanggungjawab mereka sebagai seorang Muslim. Tanggungjawab syahadah ini boleh dibahagikan kepada syahadah perkataan dan syahadah perbuatan. Syahadah dalam bentuk perkataan ialah kita menjelaskan kepada seluruh manusia tentang kebenaran yang telah disampaikan kepada kita melalui perantaraan para nabi manakala syahadah dalam bentuk perbuatan
apabila orang lain melihat dengan mata mereka sendiri kebaikan ajaran agama ini yang sering kita perkatakan dan kita tonjolkan melalui perbuatan kita sepanjang hidup kita.


Syahadah dalam bentuk perkataan dan perbuatan belum
 cukup untuk  menandakan kita telah melaksanakan segala tanggungjawab kita dan kita mampu berhadapan dengan Allah di akhirat kelak.  Syahadatul- Haq tidak sampai ke kemuncaknya selagi mana tidak tertegaknya hakimiah Allah di seluruh muka bumi ini.

Saturday, 9 November 2013

FAHAMI MAKNA BACAAN TINGKATKAN KHUSYUK DALAM SOLAT

Ikatan Muslimin


  1. BANGI, 4 Nov - “Kita mesti memahami makna bacaan apa yang dibaca untuk meningkatkan khusyuk dalam solat”, kata Ustaz Dr Noor Azizi Ismail dalam Usrah Umum yang bertajuk “Panduan Yang Khusyuk dan diterima Allah” pada 30 Oktober yang lalu. Oleh itu “bahasa Arab seolah-olah wajib dipelajari bagi membolehkan kita memahami kalimah yang dibaca dalam solat” tegasnya. Paling kurangpun, kita mesti menghafal makna bacaan dalam solat seperti surah al-Fatihah, rukuk, sujud dan tahiyat.

    Solat yang khusyuk ialah mereka yang sentiasa sedar dan mengikuti segala pengertian dari setiap kalimah yang di ucapkan di dalam solatnya. Justeru itu apabila seseorang membaca Fatihah, hatinya akan mengikuti dan memahami makna setiap kalimah yang dibaca.

    Turut ditekankan oleh beliau dalam Usrah Umum yang diadakan di Darul Insyirah, Yayasan Ikhlas, Seksyen 3 Bandar Baru Bangi ialah kepentingan khusyuk yang menjadi syarat sama ada solat seseorang itu akan diterima oleh Allah SWT. Jika khusyuk tidak wujud dalam diri orang yang menunaikan solat, maka ruang kosong itu pasti terisi dengan sifat lalai. Orang yang lalai tidak akan merasai keagungan Allah SWT, sekalipun lidahnya mengucapkan kalimah-kalimah yang mengandungi segala puji-pujian terhadap Allah.

    Ustaz Dr Noor Azizi telah memberikan beberapa panduan solat yang khusyuk yang dibahagikan kepada sebelum dan semasa mengerjakan solat. Sebelum solat kita perlu membuat persediaan awal dari aspek fizikal dan rohani. Hati perlu dipelihara kesuciannya dengan menjauhkannya daripada benda-benda yang haram atau tidak halal. Oleh itu, “pastikan apa yang kita makan, minum, pakai, tempat tinggal dan lain-lain hendaklah datang dari punca dan sumber yang halal tanpa syubhah”, tegasnya lagi.

    Semasa solat pula kita perlu menghadirkan hati kepada Allah SWT iaitu mengosongkan hati daripada segala urusan lain yang menggangu dari memberikan tumpuan sepenuhnya kepada Allah SWT. Selain itu kita perlu berusaha melawan ganguan syaitan yang cuba memesongkan perhatian semasa solat. Gangguan syaitan ini menyebabkan kita menjadi ragu dan was-was tentang bilangan rakaat yang telah ditunaikan.

    Ustaz Dr Azizi berpesan supaya sentiasa melihat tempat sujud. Beliau juga menjelaskan jika memejamkan mata boleh mendatangkan khusyuk dalam solat seseorang itu, maka dibolehkan dia berbuat begitu.

    Usrah Umum ini diakhiri dengan sesi jamuan bersama dengan peserta yang hadir. Di kesempatan ini peserta telah berkenalan dengan lebih mesra dan dapat membincangkan isu semasa yang melanda umat Islam masa kini. ISMA komited untuk mendidik masyarakat untuk menghayati kehidupan Islam yang sebenar melalui pelbagai program termasuk Usrah Umum ini.